ini ada sedikit perkongsian yang saya dpt dari sini : www.mypositiveparenting.org.
Fahami bagaimana susu ibu membantu perkembangan otak.
Oleh Professor Madya Dr Poh Bee Koon, Pakar Pemakanan.
Beberapa tahun pertama hayat si manja adalah jangka waktu paling intensif dalam perkembangan otaknya. Perkembangan otak sangat penting untuk pertumbuhan kognitif, sosial dan emosi si manja. Ini penting kepada kelangsungan hidupnya.
Terdapat banyak cara ibu bapa boleh menyokong perkembangan ini. Satu daripada cara paling asas (dan penting) ialah memberikan segala nutrien yang perlu untuk perkembangan otak dan juga pertumbuhan si manja secara keseluruhannya.
Susu Ibu adalah yang Terbaik!Kesan penyusuan ibu ke atas kepintaran kanak-kanak semakin diakui di seluruh dunia. Menurut World Alliance for Breastfeeding Action (WABA), susu ibu bukan sahaja penting untuk kesihatan, tetapi juga untuk meningkatkan perkembangan otak. Susu ibu mengandungi segala nutrien yang penting untuk perkembangan otak:
- Lemak – Susu ibu mempunyai kandungan asid lemak poli tak tepu yang lebih tinggi, khususnya DHA (asid dokosaheksanoik) dan AA (asid arakidonik), yang memainkan peranan penting dalam perkembangan otak (seperti sinaptogenesis, fungsi membran, dan mungkin juga pemielinan).
- Kolesterol – Susu ibu juga mempunyai kandungan kolesterol yang lebih tinggi. Kolesterol penting untuk memudahkan pemielinan sistem saraf pusat, yang mempunyai kandungan lipid dan kolesterol tinggi.
- Taurina – Taurina adalah asid amino yang banyak terdapat dalam susu ibu dan memainkan peranan penting dalam pertumbuhan tisu otak. Taurina juga penting untuk sintesis dan pelepasan pengutus neuro otak. Oleh sebab badan bayi sendiri tidak dapat menghasilkan taurina, adalah penting untuk memastikan si manja mendapat bekalan yang secukupnya daripada makanan yang diberikan.
Lebih Banyak Manfaat daripada Susu Ibu
- Susu ibu melindungi bayi daripada penyakit yang boleh menyebabkan kekurangan zat makanan, dan menjejaskan pembelajaran dan pendengaran.
- Susu ibu memastikan interaksi lebih kerap dan mendedahkan bayi kepada bahasa, tingkah laku sosial positif, dan rangsangan penting.
- Susu ibu membolehkan perkembangan visual dan aktiviti visual lebih baik, menambah kesediaan untuk membaca dan belajar.
“Makanan Otak Terbaik,” Menurut Hasil Penyelidikan
Hasil penyelidikan telah menunjukkan pelbagai manfaat susu ibu ke atas perkembangan otak. Jadual 1 di bawah adalah antara yang penting:
Jadual 1: Kajian ke atas pemberian susu ibu dan kepintaran kanak-kanak
Beri yang Terbaik untuk Si Manja AndaPertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menggalakkan pemberian susu ibu secara eksklusif selama 6 bulan penuh. Selepas itu, pemberian susu ibu diteruskan dengan tambahan makanan yang sesuai sehingga si manja berusia 2 tahun dan ke atas. Adalah penting untuk anda mempertimbangkan tempoh penyusuan ibu seperti disyorkan kerana ia boleh membawa manfaat kepada perkembangan otak si manja sepanjang waktu awal hayatnya